Untuk entri kali ini, giliran saya pula mencoret tentang negeri di mana tumpahnya kasih sayang daripada keluarga juga rakan-rakan.
TEMPAT-TEMPAT MENARIK DI NEGERI SEMBILAN :)
Sebelum madahku bermula eloklah saya memperkenalkan Pemimpin Negeri Sembilan. Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan ke-11 iaitu TUANKU MUKHRIZ IBNI ALMARHUM TUANKU MUNAWIR.
Inilah Istana Seri Menanti yang tercatat di dalam buku
sejarah Melayu di mana istana ini dibina tanpa menggunakan sebatng paku! Istana ini didirikan mengikut senibina masyarakat Minagkabau. Istana ini mempunyai 99 batang tiang termasuk empat batang tiang seri
yang panjangnya 67 kaki. Keempat-empat tiang ini telah diambil dari
Bukit Pergai, Jelebu. Kayu-kayu lain diambil dari Bukit Tinggi iaitu
jenis kayu penak. Keunikan istana ini ialah ia tidak menggunakan
sebarang paku besi tetapi pakunya diperbuat daripada kayu yang dipanggil
pasak. Pasak kayu keras digunakan bagi menyambungkan papan. Atap istana ini
mewakili tanduk kerbau. Tanduk kerbau dianggap sebagai lambang keamanan.
Ini ialah replika baju tradisional Negeri Sembilan. Budaya Minangkabau terserlah indah pada busana tradisional Negeri Sembilan. Orang Minangkabau merupakan penduduk asal kawasan yang kini dikenali sebagai Sumatra Barat di Indonesia. Orang Melayu di Negeri Sembilan banyak yang berasal dari Minangkabau, mereka terutamanya mendiami Negeri Sembilan dan Johor.
Pakaian lelaki pula menyerupai Baju Sikap yang dipakai sebagai sut berlima mengandungi baju atau jaket sederhana labuh, baju di dalam, berseluar dipadan dengan samping dihias pula dengan tengkolok. Kaum wanita pula berbaju kurung Teluk Belanga dan berkebaya labuh dipadan dengan kain sarung. Bagi wanita bangsawan berketurunan Minagkabau pula, pakaiannya dari kain baldu bersulam benang emas bertakhtakan labuci. Sarungnya pula dari kain songket penuh tenun dari Pandai Sikek atau dari Batu Bara di Sumatera.
Saya sebenarnya dilahirkan di Pahang tetapi dibesarkan di Port Dickson, Negeri Sembilan. Oleh itu, saya lebih tertarik untuk menulis mengenai Negeri Sembilan berbanding Pahang, negeri kelahiran saya. Di sinilah saya mula mengenal erti sebuah kehidupan :)
Lebih kurang 15 km dari Pekan Port Dickson terletaknya Pantai Tanjung Biru ini yang memberikan pemandangan indah dengan pohon yang menghijau dan lautan luas yang biru. Tanjung ini merupakan tempat yang ideal untuk aktiviti berenang, meluncur angin, menaiki bot dan jet-ski. Terdapat pelbagai hotel dan motel yang berdekatan untuk penginapan para pengunjung.
Di pantai Telok Kemang, pelbagai aktiviti sukan air boleh dilakukan. Contohnya, berkayak, jet-ski, naik 'banana boat'. Pesta air juga selalu dijalankan di pesisir pantai Port Dickson.
Gambar di sebelah ni ialah aktiviti berkayak.Keluarga saya turut berkecimpung dalam perniagaan kecil-kecilan di pantai Telok Kemang. Bapa saya berniaga kayak. Kayak ini disewakan kepada para pelancong untuk merasa menaiki kayak di sekitar pantai.
Gambar di sebelah ini pula dinamakan 'airhead'. suakn ini sangat ekstrem bagi sesiapa yang sudah berpengalaman. Saya juga turut merasainya! Jika anda berkunjung ke Telok Kemang, pastinya tidak harus melepaskan peluang mencuba sukan ini.
Bukan ada pantai sahaja di Negeri Sembilan ini, tetapi ada juga kawasan air terjun. Lokasi air terjun yang saya selalu kunjungi ialah di Kawasan Rekreasi Ulu Bendul. Di sini terbahagi kepada dua kawasan iaitu di bahagian bawah dan di bahagian atas. Di bahagian bawah terdapat beberapa gerai yang menjual makanan dan pakaian malah terdapat juga kawasan taman permainan. Di bahagian atas pula sesuai.
= Bahagian bawah
Bahagian atas =
Lokasi yang paling strategik dan bersejarah di Port Dickson ialah Muzium Tentera Darat. Muzium ini terletak di kawasan Tentera Darat di sepanjang kawasan pantai. Di buka kepada orang awam dan lawatan para pelajar.
Melihatkan keunikannya, maka Muzium Tentera
Darat ini pernah merangkul tempat kedua Anugerah Pelancongan Malaysia
pada tahun 2006 dalam kategori Tarikan Warisan (National Heritage), kata Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina Othman Said.
Pengunjung akan disajikan kisah perjuangan,
keringat, darah, nyawa dan air mata ATM yang mana pastinya tidak akan
membuatkan sesiapa pun merasa bosan ketika menyingkap kembali pelbagai
khazanah, artifak, koleksi dan peralatan ketenteraan. Semua yang dipamerkan di muzium ini merupakan saksi sebuah perjuangan demi mempertahankan kedaulatan negara. Contohnya ketika melalui era Portugis
(1511) dan Belanda (1641), pengunjung akan dapat menyaksikan berbagai
senjata di era penjajah itu selain replika struktur Porta Da Santiago
yang menjadi bukti kewujudan kota bersejarah A' Famosa dan bangunan
Stadhuys.^^
Antara tempat-tempat lain yang boleh dilawati ialah :-
- Kompleks Kraf Negeri Sembilan
- Rembau Crystal
- Jeram Gading
- Homestay Kampung Pelegong
- Kampung Stay Padang Lebar
- Ladang Burung Unta
Setelah pelbagai tempat menarik yang telah saya coretkan, kini saya ingin memperkenalkan masakan istimewa di Negeri Sembilan. Tidak kenal maka tidak cinta :)
Gambar di sebelah kiri ini ialah "ikan keli masak lemak cili api". Pastinya mampu membuatkan anda terliur melihatnya. Ini adalah salah satu masakan kegemaran keluarga saya. Pastinya yang pedas dan meletup !
Gambar ini pula ialah "udang masak lemak cili api". Pedas dan amat menyelerakan. Sudah menjadi kebiasaan apabila rata-rata orang Negeri Sembilan amat suka dengan masakan pedas.
<<--- Ini pula Rendang Daging Negeri Sembilan. Anda perasan dengan warna rendang ini?
Rendang ni agak berbeza sedikit dengan rendang yang biasa kerana rendang ini sangat pedas. Lihat sahaja pada warnanya membuatkan kita rasa kecut perut untuk menikmatinya. Awas bagi yang tidak biasa makan masakan pedas.
Sampai di sini sahaja coretan saya pada kali ini. Sebelum mengundur diri , saya berharap agar serba sedikit informasi mengenai keistemewaan di Negeri Sembilan ini dapat dijadikan panduan dan senarai pilihan untuk pergi melancong.
Sekian sahaja daripada saya.
Assalamualaikum dan salam persahabatan ^^
=> Sedikit tontonan matahari terbenam di Pantai Telok Kemang :)
Dari seorang hamba Allah,
Nurulain Binti Samsudin :)
No comments:
Post a Comment